SUNYI
OLEH
ROSSYAM HADI
π― Sunyi π―
Sunyi
Tragedi Jun
Senjata
Mari Berdansa
Kita Sama
Secawan Kopi
KREDIT
Terima kasih kerana sudi meluangkan masa anda untuk membaca koleksi puisi pertama saya dalam Bahasa Melayu. Setiap puisi di dalam koleksi ini ditulis berdasarkan pengalaman hidup dan juga pandangan saya terhadap keadaan sekeliling yang berlaku sejak tahun lepas. Saya harap apabila anda membaca SUNYI, ia seakan-akan memeluk anda untuk memberi sedikit keselesaan dan memberi semangat untuk terus kuat. SUNYI adalah kombinasi pelbagai jenis puisi dan saya harap setiap puisi dapat memberi sesuatu pada anda.
selamat membaca!
yang ikhlas,
syam.
π―π―π―π―π―
π― (1) SUNYI π―
Dunia berehat sebentar
daripada disakiti tanpa henti,
sementara kita bertarung
hingga hujung nyawa.
Jalan raya menjadi lengang,
kota mula berhantu,
malaikat maut kocah-kacih
menjemput roh yang terkorban.
Di malam sepi dan dingin,
aku menangis sorang diri,
dua tahun lesap begitu saja,
tersangkut dalam bingkai yang sama.
Aku rindu pada suara
dan sentuhan tersayang,
jiwaku kian sunyi,
hanya menunggu hari akhir.
π― (2) TRAGEDI JUN π―
Riang ria mentari
sering menyinari tiap hari,
kau adalah penyeri
hidup dahulu kala.
Hati kau berubah
seperti arah tiupan angin,
membuat aku sedar
cinta manusia bukan abadi.
Kau muntahkan segala racun
yang terbuku lama,
suapan demi suapan,
aku hanya menelan semua.
Awan terang-benderang di langit
menjadi gelap-gelita,
air mataku mengalir
bagai hujan membasahi bumi.
Beribu tanda tanya,
tidak tersoal di bibir,
tragedi Jun mengajarku
erti hidup berdikari
dan bersendiri.
π― (3) SENJATA π―
Empat ton warna
berkibar deras di puncak,
ditemani letupan kuat
serta jeritan dan tangisan.
Tempat berteduh musnah,
udara dipenuhi asap,
darat dibanjiri darah
insan tidak berdosa.
Memerhati melalui skrin
dari beribu batu jauh,
doaku dijadikan senjata,
menemani mereka sentiasa.
Kemenangan akan tiba
suatu hari nanti
kerana janji Tuhan itu pasti.
π― (4) MARI BERDANSA π―
Di bawah sinar purnama,
hanya kau dan aku,
mata saling bertemu,
aku hanyut dalam kalbumu.
Kau membuka langkah,
aku hanya menurut
setiap gerak-geri
dan kita mula berdansa.
Tiada irama mengiringi,
hanya nyanyian hidupan malam,
tangan terkunci erat,
jasad melekat rapat.
Ini bukan tarian pertamaku,
kau juga bukan teman sehati sejiwaku,
namun rentak kita serasi
untuk sehidup semati.
π― (5) KITA SAMA π―
Bertutur sama bahasa,
bernafas sama udara,
bernyawa sama satu,
berteduh bawah sama bumbung.
Kau di langit,
bermain-main di kayangan,
aku di tanah,
dipijak-pijak tanpa belas kasihan.
Berdarah sama darah,
menitis sama air mata,
tetapi kau tidak anggap
diri kita sama.
Dijajah oleh saudara kendiri,
kau duduk megah di atas,
memandang hina kami di bawah,
adakah kita berbeza?
π― (6) SECAWAN KOPI π―
Cawan seramik hijau,
kacau perlahan-lahan
sambil meniup malu,
aromanya menari-menari di udara.
Ada yang gemar bersusu,
ada yang suka bersahaja,
pelbagai pilihan untuk dihirup,
dari buatan Muar hingga ke Kedah.
Kadang yang diminta
kurang serba-serbi,
tiada campuran yang sempurna,
citarasa kita tidak sama.
Pahit atau manis,
kau adalah secawan kopi
yang aku tidak akan
jemu untuk nikmati
di setiap pagi
sebelum mulakan hari.
π―π―π―π―π―
Comments
Post a Comment