pelita

pelita

oleh

rossyam hadi



✨✨✨

nota

koleksi puisi #Pelita✨ menceritakan pelbagai ombak emosi bertemakan raya - ada puisi yang mungkin menjatuhkan air mata, ada juga puisi yang mungkin mengukir senyuman.

terima kasih kerana sudi membaca #Pelita

selamat hari raya! maaf zahir dan batin 

ikhlas dari syam :)

✨✨✨

(1) tunggal

semarak bunga api

hatiku kau bakar

pada malam lebaran


yang hanya membara

untuk seketika.


(2) pelita

penyeri malam tujuh likur

penyambut Syawal

dan penamat Ramadan


nyalaan terakhirmu 

tidak sempat kusaksikan


berehatlah

dari menerangi

langit kelam kami.


(3) songket

3 abad dimiliki

disimpan rapi

dikasih penuh

peneman setia

setiap raya


samping songket tenun tangan

dari timur

daripada ayah tumpangan

yang kuanggap sendiri


akan kujaga.


(4) balik kampung

tangki minyak penuh

but belakang padat

tempat duduk penumpang terisi


bersesak di jalan raya

berumah di kawasan rehat


hanya untuk menyambut

di desa.


(5) warna warni

balang bercorak bunga

penuh pemanis mulut


sampul berlogo berjenama

berisi kertas mahal


kedua-duanya digemari.


(6) meriah

longgokan jasad 

di ruang tamu

lambakan lauk 

di atas meja


kereta parkir bersempit 

di anjung hadapan

kasut dan selipar 

berselerak di luar.


(7) riang ria

aroma rendang berlari mesra

mercun mula memekak

lampu lip lap digantung

pelita dinyala


hari raya

hari dinanti.


(8) fesyen

beraneka gaya

berserba serbi tona

dan corak

di pagi aidilfitri


tema warna apa tahun ini?


(9) peninggalan

hanya harta pusaka

daripada arwah

boleh memutus

air yang dicincang


walau di hari mulia.


(10) sanak saudara

yang jauh 

didekatkan

yang renggang

dirapatkan


yang salah 

dimaafkan

yang asing 

saling mengenali


hanya setahun sekali.


(11) kenangan

rindu serindu rindunya

pada memori usang

yang kini hanya menetap

di lorong ingatan.

Comments

Post a Comment